.Heart Talk.


Allah's timing is perfect in every matter. We don't always understand the wisdom behind it, but we have to learn to trust it - Dr. Bilal Philips

Tuesday, January 01, 2013

Penerimaan penggunaan bahasa asing kepada istilah Bahasa Melayu terutamanya dalam Sains dan Teknologi


      Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar demokrasi dan juga sistem pendidikan moden, Malaysia mempunyai hubungan pendidikan dengan negara-negara luar dan hubungan serta kerjasama pendidikan sangat diperlukan dalam memajukan pendidikan negara. Tambahan pula ekonomi negara dan dunia telah berganjak dari ekonomi pembuatan kepada ekonomi yang berpaksikan pengetahuan (K-ekonomi), seiring dengan revolusi teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT). Hampir keseluruhan situasi ini berlaku dengan menggunakan bahasa sebagai medium bagi tujuan komunikasi khususnya bahasa Inggeris.


Pembinaan bahasa merupakan proses yang berterusan berdasarkan kepada perubahan dan juga kemajuan yang dicapai dan dinikmati oleh sesuatu bangsa selaras dengan anjakan paradigma mereka bagi melambangkan identiti bangsa yang maju serta mencerminkan kekuatan pegamatan intelektual di masa kini. Mengukur kemajuan bahasa dan kesan bahasa tersebut akan memberikan maklum balas dan petunjuk akan kejayaan dan kemajuan yang telah dicapai sama ada kita mampu berdiri dan meletakkan diri di barisan dan kelompok bangsa yang kuat, maju, bermaruah, berintegriti dan cemerlang, ataupun sebaliknya.


 Menyedari bahasa Inggeris adalah begitu penting pada masa kini, maka keperluan untuk menguasai bahasa tersebut semakin mendesak untuk melayakkan kita bersaing di peringkat global sekaligus meletakkan kita sebaris dengan negara-negara maju menjelang tahun 2020 akan datang. Tambahan pula, penggunaan bahasa Inggeris telah digunakan lebih dari 100 buah Negara di seluruh dunia sebagai bahasa kedua. Oleh yang demikian, kejayaan melaksanakan pendidikan Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar merupakan langkah yang tepat bagi pelajar sebagai persediaan untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran dunia luar. Tambahan pula, ia merupakan asas bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.


Sepuluh tahun kemudian, bahasa Melayu telah diwartakan sebagai bahasa kebangsaan yang tunggal di Malaysia melalui Akta Bahasa Rasmi 1971. Kemuncak bagi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar digunakan untuk mengajarkan semua mata pelajaran, kecuali bahasa Inggeris, dalam bahasa kebangsaan adalah pada tahun 1970 apabila kesemua sekolah kebangsaan memulakannya bagi proses pengajaran dan pembelajaran.


Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam sistem pendidikan pada masa dahulu ekoran kurangnya pelajar yang berkebolehan menguasai asas mata pelajaran Sains dan Matematik dan ada segelintir daripada mereka yang tidak tahu membaca. Oleh itu, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 ditubuhkan dan mengesyorkan agar kurikulum pendidikan Negara memberikan penekanan dan penegasan pendidikan terutamanya dalam bidang 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Bukan itu sahaja, malah melahirkan ramai guru-guru yang berkebolehan dalam bidang Sains dapat menangani masalah pelajar yang tidak dapat menguasai kemahiran asas ini. Begitu juga dari aspek kemudahan infrastruktur sekolah di mana ianya diberikan tumpuan yang lebih terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar.


 Fenomena kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan pelajar pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan. Apatah lagi, segala syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) mengenakan segala syarat yang amat ketat kerana persaingan yang hebat di mana pelajar-pelajar berebut untuk mendapat tempat pengajian pada hari ini. Di bahagian iklan yang menggunakan surat khabar sebagai media penyampai, banyak dipaparkan tawaran biasiswa bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dan kepujian di dalam bahasa Inggeris pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan salah satu syarat yang utama.


Usaha kerajaan bagi melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris amat tepat bagi membantu anak bangsa menguasai bahasa tersebut untuk menghadapi persaingan yang hebat dalam era globalisasi hari ini. Pelajar-pelajar sekolah dan juga graduan dari Universiti ataupun Institusi Pengajian Tinggi yang setaraf dengannya menjadi tulang belakang, nadi kepada kepada pembangunan negara. Ini adalah kerana graduan-graduan dan lepasan sekolah zaman sekarang sedang melalui fasa hidup baru dan kebanyakan daripada mereka ini tidak sedar yang kurang fasih berbahasa Inggeris menjadi masalah utama bagi mendapatkan pekerjaan di mana-mana syarikat, besar, sederhana atau kecil.


Sehubungan daripada pernyataan-pernyataan di atas, tujuan penyelidik menjalankan kajian ini adalah untuk mengupas dan mengkaji akan faktor yang mempengaruhi penerimaan  penggunaan  istilah  bahasa  asing  kepada  istilah  Bahasa  Melayu  terutamanya  dalam  Sains  dan  Teknologi  bagi  pelajar  Kulliyyah  Kejuruteraan  dan  Kulliyyah  Seni  Bina  Universiti  Islam  Antarabangsa  Malaysia.


Kesimpulannya, pelbagai reaksi  yang diterima hasil daripada kajian soal selidik yang telah dijalankan. Walaupun terdapat pelbagai reaksi tetapi tidak banyak perbezaan yang dapat dilihat dari kajian ini kerana kebanyakkan daripada responden yang terlibat lebih memilih dan menyokong penggunaan istilah Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu. Antara reaksi yang diterima adalah kebanyakkan buku rujukan Sains dan Teknologi adalah dalam Bahasa Inggeris, para pelajar sudah biasa dengan istilah Sains dalam Bahasa Inggeris dan merasakan kekok sekiranya menggunakan istilah Sains dalam Bahasa Melayu. Para pelajar juga menyatakan bahawa istilah Sains dalam Bahasa Inggeris adalah lebih tepat,ringkas dan mudah dihafal. Seterusnya, para pelajar merasakan bahawa dengan menggunakan istilah Sains dalam Bahasa Inggeris, komunikasi ilmu secara antarabangsa iaitu dengan negara-negara luar adalah lebih mudah. Tambahan pula, terdapat pelajar-pelajar dari negara luar  yang  menuntut pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM). Hal ini menyebabkan penggunaan Bahasa Inggeris menjadi kebiasaan pelajar-pelajar di UIAM.


Reaksi-reaksi ini sebenarnya disebabkan latar belakang pendidikan pelajar iaitu kebanyakkan mereka merupakan pelajar-pelajar dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) iaitu mempelajari matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris bermula dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima.


Penggunaan istilah Bahasa Asing  terutamanya Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu ini sebenarnya tidak menjadi masalah kerana para pengguna istilah sains dan teknologi di negara ini terutamanya pelajar perlu memahami takrif sesuatu istilah sains tersebut dalam apa jua jenis bahasa dan mencari inisiatif tersendiri supaya penggunaan istilah Bahasa Asing ke Bahasa Melayu tidak lagi menjadi isu.


Penggunaan istilah sains dalam bahasa melayu sangat digalakkan kerana dapat memartabatkan bahasa ibunda kita sendiri yang sememangnya sudah moden mengikut nahunya yang tersendiri tetapi pada masa yang sama kita perlu mengetahui istilah sains tersebut dalam bahasa asing juga supaya komunikasi ilmu antarabangsa dapat diperluaskan.


Kami telah membuat beberapa kesimpulan berdasarkan kepada maklumbalas responden terhadap persoalan- persoalan yang dibangkitkan. Responden yang terlibat dalam kajian ini adalah terdiri daripada pelajar dari Kulliyyah  Kejuruteraan  dan  Kulliyyah  Seni  Bina  Universiti  Islam  Antarabangsa  Malaysia di mana subjek atau mata pelajaran yang dipelajari adalah amat mencabar. Sungguh pun begitu, bahasa tidak menjadi halangan bagi mereka untuk menuntut ilmu meskipun bahasa penghantar yang digunakan di dalam kelas adalah menggunakan bahasa Inggeris.


Walaupun berjauhan dengan keluarga ketika menuntut di Institusi Pengajian Tinggi, pengaruh daripada keluarga terhadap perkembangan minda pelajar khususnya responden amat mempengaruhi diri responden. Tahap pendidikan yang diterima semasa tinggal bersama keluarga sama ada secara formal atau non-formal mempengaruhi akan kemampuan responden untuk menerima atau mengaplikasikan bahasa Inggeris selain bahasa ibunda mereka sendiri.


Kebanyakan responden adalah berbangsa Melayu dan bahasa Malaysia menjadi bahasa utama pertuturan harian mereka. Bagi meningkatkan tahap penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris adalah mengambil masa kerana sejak dari kecil lagi, pendedahan mereka terhadap bahasa Malaysia adalah lebih berbanding bahasa Inggeris. Kebijaksanaan pensyarah dalam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan yang penting di mana pendekatan tertentu diperlukan bagi mendekati dan menangani masalah pelajar yang lemah akan bahasa Inggeris ini.


Hasil dapatan kajian juga mendapati bahawa majoriti responden bersetuju dan sedar akan kepentingan penggunaan bahasa Inggeris hari ini dan faktor menggunakan rujukan juga memainkan peranan yang sangat penting dalam menyuntik minat dan juga kesungguhan responden untuk mempelajari serta mendapatkan keputusan yang baik dalam semua subjek terutama Sains dan Matematik untuk melahirkan sebuah masyarakat yang berpengetahuan dan mampu bersaing di arena antarabangsa.


Anjakan atau perubahan yang dilakukan oleh kerajaan bagi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa atau medium penghantar merupakan langkah yang bijak bagi mendedahkan pelajar akan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris itu sendiri dan juga senario yang berlaku dalam dunia pekerjaan hari ini. Semua pihak perlu terlibat dalam mengembeling tenaga bersama-sama bagi membantu dan menangani masalah yang timbul dengan perubahan dasar pendidikan hari ini di mana penguasaan bahasa Inggeris dan juga subjek Sains serta Matematik di kalangan pelajar menjadi keutamaan.

2 comments:

  1. ptutnye usul wat dlm bhasas arab lg bgus...

    ReplyDelete
    Replies
    1. boleh juga.. cuma tak ramai yang kuasai la kn..

      Delete

Segala komen anda amatlah dialu-alukan :)