.Heart Talk.


Allah's timing is perfect in every matter. We don't always understand the wisdom behind it, but we have to learn to trust it - Dr. Bilal Philips

Tuesday, January 08, 2013

Ambil guru dari india perlu kajian mendalam



Nuruljannah Ismail, 29 Dis 2012
Lebih kurang seminggu yang lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kepada Perdana Menteri India untuk menerima sejumlah guru yang mahir bahasa Inggeris dari India untuk mengajar di negara kita. Pada dasarnya, kita melihat cadangan ini mampu mewujudkan kerjasama yang pelbagai dan menyeluruh antara Malaysia dan India, namun jika diteliti, masih banyak faktor yang perlu ditekuni demi untuk merealisasikan cadangan ini. Saya di peringkat mahasiswa yang merupakan pelajar daripada Jurusan Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ingin menyuarakan ketidaksetujuan terhadap cadangan ini atas beberapa hujah.

Hujah saya yang pertama ialah, lambakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang masih menganggur dan masih menunggu untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah untuk mengajar. Tambahan lagi, baru-baru ini Gerakan Gabungan ISMP mengeluarkan kenyataan bahawa mereka turut menghadapi kesukaran untuk diterima di sektor swasta. Justeru, jika melihat kepada situasi ketika ini, amatlah mustahil untuk kita membawa masuk guru dari India, sedangkan masih ramai lagi graduan ISMP yang terkontang-kanting menunggu panggilan penempatan ke sekolah-sekolah. Cadangan ini seolah-olah menyempitkan peluang graduan ISMP terutamanya daripada jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) untuk mendapatkan pekerjaan. Seterusnya, ia akan memburukkan lagi masalah pengangguran dalam kalangan graduan ISMP. Terdengar juga ura-ura bahawa pengambilan mahasiswa ISMP akan dihentikan buat sementara waktu bermula tahun hadapan kerana peluang pekerjaan yang tersedia tidak mampu menampung graduan ISMP yang sedia ada. Lantas, satu pertanyaan di sini, adakah berbaloi jika pengambilan mahasiswa dihentikan untuk mengatasi masalah pengangguran dan pada masa yang sama kita mengimport masuk guru-guru dari India?

Hujah saya yang kedua ialah, kita sudah mempunyai graduan dari jurusan TESL untuk mengajar dalam bahasa Inggeris. Bahkan, sehingga kini, masih ada ribuan mahasiswa di seluruh Malaysia yang sedang mengikuti kursus TESL dan dijangka akan menamatkan pengajian antara tahun 2013 hingga 2016. Jika diperhati keadaan ini, saya yakin negara kita tidak akan ketandusan guru-guru bahasa Inggeris untuk mengajar anak-anak watan. Atas dasar apa kami diberi latihan selama empat tahun sekiranya peluang untuk mengajar diberikan kepada mereka yang bukan warganegara? Saya yakin dengan kompetensi mahasiswa dan juga graduan TESL di Malaysia kerana proses untuk menjadi mahasiswa ISMP bukan mudah. Untuk mengambil jurusan TESL, kami harus memperoleh sekurang-kurangnya band 4 dalam Malaysian University English Test (MUET). Setelah melepasi ujian tersebut, kami menduduki  pula Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) dan seterusnya kami melalui proses temuduga. Dengan tapisan sebegini, adakah kerajaan masih belum yakin dengan kemampuan kami mengajar anak watan kami sendiri?

Hujah saya yang ketiga ialah dari sudut ekonomi. Kemasukan guru-guru dari India tidak dapat tidak memerlukan kerajaan untuk melaburkan sejumlah wang yang agak besar  yang merangkumi kos yang pelbagai. Kita melihat situasi ini dari sudut kemaslahatan umum. Adakah pengambilan guru-guru dari India merupakan satu keperluan sehinggakan kita rasa berbaloi untuk melaburkan ke arah itu? Atau adakah dengan jumlah dan kualiti guru bahasa Inggeris di Malaysia masih mampu menyediakan servis pengajaran yang terbaik dan dengan ini kerajaan tidak perlu melaburkan banyak wang untuk menampung guru-guru di Malaysia? Saya memilih opsi yang kedua. Saya masih yakin dengan kebolehan dan kompetensi guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia untuk mengajar, kerana dengan adanya saya disini pada hari ini adalah dengan hasil tunjuk ajar mereka. Justeru, lebih wajar kiranya jika wang kerajaan digunakan dan diperuntukkan untuk memperkasakan guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia. Tambahan lagi, ketika ini kita sudah mempunyai 75 orang guru dari Amerika Syarikat untuk mengajar di Malaysia. Jadi, saya percaya, kita tidak perlu lagi menokok tambah bilangan guru import yang sedia ada, kerana ia akan meningkatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan.

Saya menyokong penuh saranan Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP) untuk kerajaan membuat kajian dengan lebih mendalam terhadap isu ini dan juga mengadakan perbincangan dengan professor bahasa Inggeris di Malaysia. Semoga dengan perbincangan tersebut, dapat menghasilkan keputusan yang menguntungkan negara. Saya juga tidak sebulatnya menolak cadangan ini. Jika kerajaan mampu memberi  sebab yang memuaskan bukan sekadar untuk membina hubungan, saya dan juga mahasiswa lain mungkin akan mempertimbangkan cadangan ini. Namun, untuk masa ini, saya tetap dengan pendirian saya untuk tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Penulis ialah Majlis Perwakilan Pelajar UIAM. 

No comments:

Post a Comment

Segala komen anda amatlah dialu-alukan :)