.Heart Talk.


Allah's timing is perfect in every matter. We don't always understand the wisdom behind it, but we have to learn to trust it - Dr. Bilal Philips

Thursday, November 22, 2012

Seruan Prihatin Palestin Tanpa Ironi


Seruan Prihatin Palestin Tanpa Ironi

Pemandangan ironi yang menimbulkan keinsafan, bukan peperangan mulut yang memandang
Mati atau hidup, dua-dua adalah ujian.
Itu kenyataan Allah di dalam surah al-Mulk ayat 2:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

“Dialah yang telah mencipta mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” [al-Mulk 67:2]
Apabila mati dan hidup mengekalkan kita dalam mood diuji, maknanya kita sentiasa diuji. Apabila ada sahaja kejadian yang dirasakan sebagai ujian, mesti kita lihat sisi sebaliknya, siapa lagi yang teruji selain daripada yang zahirnya kelihatan sedang diuji itu.
Apabila mangsa kemalangan jalanraya cedera parah dibawa ke hospital, zahirnya pesakit itu sedang diuji. Namun, doktor, jururawat, pembantu perubatan dan sekalian pasukan perawat, juga sedang diuji.
Aqidah diuji pada melihat qadha’ dan qadar.
Pandangan hidup diuji pada melihat rawatan yang diberi biar secemas dan seberat mana pun tekanan, adalah ibadah kepada Allah.
Sistem nilai sedang diuji pada menentukan mana yang lebih utama daripada yang lain.
Atau dalam bahasa yang lebih mudah, keikhlasan diuji, kesungguhan diuji, kompetensi diuji, akhlaq diuji, serba serbi sedang diuji. Pesakit dan perawat sama-sama sedang diuji, dalam gelanggang yang sama.
UJIAN DI PALESTIN
Peluru.
Bom.
Darah.
Kematian.
Saudara kita di Palestin telah dan sedang malah terus menerus diuji. Ujian yang menyakitkan. Yang menyeksa jiwa. Ujian ke atas mereka seperti sudah tidak tergambar oleh kata. Malah ujian yang terlalu berat itu menyebabkan kajian oleh pakar psikologi Palestin terhadap kanak-kanak memperlihatkan betapa kanak-kanak Palestin hilang keinginan dan semangat untuk hidup!
Terlalu trauma.
Jika mereka sedang diuji, siapa lagi yang sedang diuji.
Bahu memikul sedang diuji.
Mata memandang juga sedang diuji.
Itulah KITA.
Ujian ke atas kita bukan hanya kepada kita terhadap mereka.
Malah ujiannya juga adalah kita terhadap sesama kita.
MENYINDIR UNTUK MENYERU PRIHATIN
Kita hidup dalam budaya penuh ironi.
Sarcasm.
Hingga hendak mengajak kepada kebaikan pun kita menyindir.
Kita sudah tidak percaya kepada ajakan secara direct. Kita anggap direct itu terlalu sukar lagi melukakan. Kita gerun dengan jari yang luka di tangan, tetapi kita tidak gerun dengan kanser yang membunuh dari dalam. Teguran direct mungkin agak melukakan seperti lukanya jari. Tetapi sindiran membenihkan dendam yang membunuh dari dalam.
Menggunakan pendekatan MENYINDIR tidak akan menjadikan rakyat Malaysia lebih prihatin kepada isu di Gaza dan Palestin. Malah ia mungkin menimbulkan rasa menyampah dengan golongan pejuang isu Palestin.
Ajaklah.
“Saya sudah puas mengajak secara direct. Tidak berkesan pun!” hujah kita sesama kita.
Kita mungkin terlepas pandang bahawa Nabi Nuh alayhi al-salaam mengajak, memujuk, mendidik, malah mengancam, selama 950 tahun. Tidak pula Baginda beralih kepada kaedah sindiran kerana sudah puas mengajak secara direct.
Allah itu Tuhan yang hari-hari didurhakai hamba-Nya, jarang sekali Allah memujuk dengan sindiran. Dan jika Allah yang menyindir dengan ironi, ia sindiran ALLAH kepada hamba-Nya. Layak sungguh. Mana mungkin kita sebagai hamba mahu menyindir sesama hamba.
Sarcasm, menegur secara sindiran berironi ini ditegah oleh ALLAH di dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” [Al-Hujuraat 49:11]
Al-Imam al-Tabari rahimahullah semasa mengulas ayat ini, menyatakan bahawa Allah meletakkan hukum mengharamkan perbuatan menyindir berironi (sarcasm) yang disebut sebagai al-sukhriyyah di dalam ayat ini, ke atas semua keadaan dalam semua makna. Maka tidak halal bagi seorang mukmin untuk menyindir seorang mukmin yang lain, sama ada kerana kemiskinannya, malah dosa yang dilakukannya atau apa sebab sekali pun, untuk menjustifikasikan sindiran.
Jangan rasa bagus sangat apabila prihatin dengan isu Gaza. Rasa bagus itulah sifat yang menjadikan Yahudi terlaknat.

Pujuk, jangan kutuk.
Bina jambatan, bukan tembok.
Ajak, bukan ajar.
Jadi da’i, bukan mufti!

Kita mahu meramaikan mereka yang prihatin.
Bukan menambah kebencian sesama kita.
Kita boikot barangan Yahudi, ironi kita memecah belahkan sesama kita tanpa Yahudi campur tangan.
Self destructive!
Ya Allah, bantulah saudara-saudara kami di Palestin, ya Mujib al-Du’a!
Sesungguhnya kami sedang sangat diuji.
HASRIZAL
43000 BSP
#Artikel ini daripada saifulislam.com
*Saya sengaja tinggalkan sumber yang saya baca disini, tanpa saya ulas seperti kebiasaanya. Kali ini, saya mahu kita semua baca, biar masuk ke dalam hati. Ini realiti yang berlaku di sekeliling kita. 
Allahuakbar, Insaflah wahai diri~

No comments:

Post a Comment

Segala komen anda amatlah dialu-alukan :)