Islamisasi Hijrah : Hijrah & Rohnya


ISLAMISASI HIJRAH : HIJRAH & ROHNYA

Assalamualaikum warga UIAM sekalian…

Minggu depan pada 15 November 2012, akan bermulanya tahun baru bagi seluruh umat Islam..Sebagai persediaan kita menghadapi Awal Muharam ini,mari sama-sama kita menyegarkan kembali nilai Hijrah serta semangat yang terbina di dalamnya bagi memastikan kehidupan kita sentiasa tercorak kea rah kebaikan.

Awal muharram merupakan suatu pembukaan paradigma baru dalam sejarah Islam. Tarikh ini diisytiharkan oleh Saidina Umar r.a sebagai permulaan era kejayaan dan kebangkitan Islam melalui peristiwa Hijrah yang terpatri kemas dalam sejarah. Disini bermula proses ketamadunan mengikut acuan Islam dan pongorbanan peristiwa Hijrah menjadi ‘turning point’ kepada penyebaran Islam hinggalah pada hari ini.

Bagi seorang mahasiswa khususnya di UIAM, umumnya kampus-kampus lain, cukup banyak pengajaran daripada peristiwa hijrah dalam erti kata yang tersurat mahupun tersirat yang dapat kita ambil. Jika dibicara dalam kerangka istilah, tidak cukup untuk kita sebagai insan menghadamkan maksud peristiwa Hijrah. Sudut falsafahnya mudah sahaja untuk difahami bahawa hijrah membawa erti perubahan sama ada dalam bentuk revolusi mahupun evolusi. Perubahan dari buruk kepada baik, baik kepada lebih baik dan seterusnya kepada yang terbaik. Hijrah menghuraikan proses kepada matlamat yang lebih besar, iaitu pengorbanan dan penyampaian Islam.

Jika di UIAM khususnya, beban untuk sebar dan fahamkan Islam hanya dikontrakkan kepada mereka yang berlatar belakang pengajian Islam dan persatuan-persatuan Islam semata-mata. Sebetulnya semua individu Islam perlu memahami bahawa mereka adalah golongan muhajirin yang juga perlu melengkapkan maksud kedua hijrah iaitu menyebar dan menguatkan Islam. Mungkin frasa dakwah agak sukar untuk dibawa oleh individu umumnya, namun hijrah yang lebih utama dalam diri individu adalah berubah dari semasa ke semasa untuk lebih dekat dengan Islam.

Islamisasi dan Hijrah

Islamisasi bermaksud usaha (proses) menjadikan patuh kpd, sejajar dgn, atau sesuai dgn ajaran agama Islam, perihal mengislamkan, pengislaman, tujuannya ialah utk membendung penerapan budaya barat dalam kehidupan Umat Islam.

Hijrah secara etimologi ertinya berpindah. Secara terminologi ia mengandungi dua makna : hijrah makani (tempat), dan hijrah maknawi (nilai). Hijrah makani ertinya berpindah dari suatu tempat yang kurang baik menuju tempat yang lebih baik, dari suatu negeri ke negeri yang lain yang lebih baik. Adapun hijrah maknawi ertinya berpindah dari nilai yang kurang baik menuju nilai yang lebih baik, dari kebatilan menuju kebenaran, dari kekufuran menuju keislaman. Atau dengan kata lain, hijrah kepada jalan yang di redhai Allah dan Rasulnya.

Antara konsep hijrah:
* Hijrah dalam keyakinan (i‘tiqadiyah).
* Hijrah dalam pola ibadah (Ta’abbudiyah).
* Hijrah dalam bentuk moral dan etika (Akhlaqiyah).
* Hijrah dalam pemikiran dan budaya (Aqliyah Tsaqafiyah).
* Hijrah dalam institusi keluarga (Usrawiyah).
* Hijrah dalam konteks sosial kemasyarakatan ( Ijtima’iyah).

Roh Sebenar Hijrah

Roh sebenar hijrah dapat kita hayati daripada butir-butir baiah(perjanjian) al-Aqabah kedua yang dimeterai antara Rasulullah saw dengan beberapa orang Ansar pada musim haji ke-13 kenabian.

Dalam kitab Musnad Imam Ahmad(no 13934-sanad yang hasan), Jabir telah menceritakan peristiwa tersebut. Beliau telah bertanya Rasulullah saw pada hari itu: "Apakah butir-butir perjanjian ini wahai Rasulullah?" Baginda menjawab:
"Berbaiahlah(berjanjilah) kalian semua untuk sentiasa:
1. Taat kepadaku dalam keadaan rajin ataupun malas.
2. Mengeluarkan belanja(demi Islam) dalam keadaan susah dan senang.
3. Melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
4. Tegak mempertahankan agama Allah dan tidak mempedulikan celaan para pencela.
5. Membantuku apabila aku tiba di Yathrib(Madinah).
6. Menjaga dan mempertahankanku sebagaimana kamu semua mempertahankan diri kamu sendiri, para isteri dan anak-anakmu.

"Bagi kamu Syurga!"(Imam al-Hakim dan Ibn Hibban telah mengesahkan sanad hadis ini dalam kitab mereka).
Dalam kitab Sirah Ibn Hisham(jil. 1, hlm. 440), Ka'ab menyatakan bahawa seramai 73 orang lelaki dan 2 orang wanita telah hadir dalam baiah ini. Setelah selesai MoU ini, Rasulullah saw melantik 12 orang naqib(pembimbing) untuk menjadi pembimbing kepada masyarakat Yathrib sebelum Baginda bertolak ke sana. Mereka terdiri daripada 9 orang puak Khazraj dan 3 orang puak Aus.

Iktibar Buat Ummah

Maka setiap insan yang rindukan Rasulullah saw sewajarnya meneliti satu persatu butir-butir perjanjian al-Aqabah ke-2 ini dengan penuh mendalam, menghayati yang tersurat dan memahami yang tersirat lantas cuba untuk mengaplikasikannya.

Moga-moga kita menjadi ummah yang layak menumpang syafaat Baginda di akhirat kelak. Dalam satu hadis lain, Baginda bersabda yang bermaksud: "Tiada hijrah(ke Madinah) selepas pembukaan Kota Makkah, tetapi yang kekal wujud hanyalah jihad dan niat. Apabila kamu diseru untuk berjihad hendaklah kamu menyahutnya."(Riwayat al-Bukhari no. 2575, Muslim no. 2412)

Imam al-Nawawi menjelaskan maksud hadis dengan menyatakan bahawa umat Islam masih berpeluang mendapat pahala seumpama hijrah dengan melakukan kewajipan berjihad. Roh hijrah daripada Baiah al-Aqabah ke-2 inilah yang mesti dijadikan inspirasi dalam membuat penghijrahan dalam diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Wallahu ‘Alam…

Sumber:
1.Tafsir Al-Azhar
2.Himpunan hadis-hadis Sahih
3.I luv Islam



Chairperson:
Izzat Afif Abdullah

Co-Chairperson:
Siti Fatimah Azzahra Mohd Nazri

Spirituality and Islamization Secretariat
Students’ Representative Council 2012/2013

Comments

Popular Posts